Saturday 21 January 2012

Strategi Merancang Matlamat Hidup

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, merancang matlamat hidup memerlukan kita mencari apakah minat dan keinginan kita yang sebenar. Dan sebelum kita membuat keputusan untuk merancang, perlu juga kita ketahui
keinginan kita itu sewajarnya merangkumi segenap aspek dalam hidup kita.
Untuk memberi gambaran tentang aspek-aspek yang mungkin perlu difikirkan oleh anda, Strategi Merancang Matlamat Hidup – Langkah 1 akan menjelaskan beberapa aspek yang boleh anda fikirkan sebagai panduan untuk mencari dan menentukan keinginan dalam hidup anda. Antara aspek-aspek tersebut ialah:
  • Karier
Fikirkan keinginan anda tentang tahap pencapaian tertinggi yang anda inginkan dalam karier anda. Apakah yang ingin anda capai? Ya, semua orang ingin menjadi boss tapi bukan sekadar menjelaskan anda ingin menjadi boss. Perinci dan jelaskan gambaran jawatan yang anda ingin miliki pada masa akan datang.
  • Kewangan
Berapa banyak yang anda inginkan? Berapa yang anda perlukan? Bandingkan pendapatan anda hari ini dengan pendapatan yang mungkin anda perlukan 10 tahun akan datang. Hubungkan dengan matlamat dalam karier anda tadi. Adakah dengan jawatan yang anda inginkan tersebut boleh membantu anda mencapai matlamat kewangan anda ini?
  • Pendidikan
Apakah tahap pendidikan yang anda inginkan? Adakah terdapat sebarang pengetahuan atau kemahiran yang anda ingin kuasai? Bolehkah pendidikan yang anda perlukan ini membantu anda mencapai matlamat-matlamat tadi?
  • Keluarga
Anda sudah berkahwin? Jika belum dan anda memang ingin berkahwin, tentukan bagaimana kehidupan yang anda inginkan selepas berkahwin. Apakah yang anda ingin sumbangkan kepada ahli keluarga anda? Bahagian ini sangat penting, kerana bagi saya bahagian ini mempunyai pengaruh paling jelas dan kuat kepada usaha anda untuk mencapai matlamat hidup anda.
  • Artistik
Adakah anda minat bidang ini? Contohnya seperti melukis, menulis, bermain muzik atau mengarah filem? Apakah yang anda pernah bayangkan, dan anda minati dari bidang ini? Apakah yang memberi kepuasan bukan sahaja berbentuk material dan wang ringgit tapi mungkin juga self-esteem anda?
  • Sikap
Apakah kelemahan dari sikap anda yang boleh menghalang anda mencapai matlamat hidup? Cari dan cuba perbaiki sikap tersebut kerana anda tidak mahu menjadikannya sebagai alasan atas kegagalan anda mencapai matlamat hidup anda. Selain itu, memperbaiki kelemahan mampu memberikan anda keyakinan untuk terus memajukan diri anda.
  • Fizikal
Adakah sebarang matlamat fizikal yang anda pernah impikan? Contohnya seperti mencapai berat badan ideal, atau tahap memperbaiki tahap kesihatan sekarang untuk hari tua anda.
  • Kegembiraan
Apakah yang benar-benar menggembirakan anda? Adakah dengan melancong ke luar negara, terjun dari ketinggian 5000 kaki atau bermain muzik dengan kumpulan kegemaran anda? Cari sesuatu yang menggembirakan diri sendiri (bukan orang lain), dan ingat, anda memang layak untuk mendapatkannya!
  • Kebajikan
Apakah dengan mencapai kesemua matlamat tadi membolehkan anda berbakti kepada masyarakat. Dan jika anda mampu membuat amal kebajikan, apakah yang ingin anda sumbangkan untuk membantu masyarakat? Jadikan sebahagian dari matlamat hidup anda untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan.

Luangkan masa anda untuk brainstorm segala keinginan anda untuk setiap kategori di atas. Kemudian cari yang paling bersesuian dan realistik. Dari senarai pendek ini pula, cari bahagian atau aspek yang mampu memberi pengaruh paling besar untuk membakar semangat anda mencapai kesemuanya. Anda mungkin perlu menukar sebahagiannya pula dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan keutamaan pada waktu itu.
Dari kesemua aspek keinginan anda, perlu saya ingatkan bahawa kesemuanya perlu datang dari diri anda sendiri. Maksud saya, keinginan anda ini tadi bukan dipengaruhi oleh siapa-siapa dalam hidup anda. Bukan keinginan ibu bapa anda, dan jauh sekali bukan keinginan boss anda. Jadilah apa yang anda sendiri inginkan. Tetapi jika anda mempunyai pasangan hidup, mereka juga mempunyai pengaruh dalam menentukan matlamat anda, maka anda mungkin perlu mendengar pendapat mereka juga.

No comments:

Post a Comment