Saturday 21 January 2012

Strategi Merancang Matlamat Hidup

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, merancang matlamat hidup memerlukan kita mencari apakah minat dan keinginan kita yang sebenar. Dan sebelum kita membuat keputusan untuk merancang, perlu juga kita ketahui
keinginan kita itu sewajarnya merangkumi segenap aspek dalam hidup kita.
Untuk memberi gambaran tentang aspek-aspek yang mungkin perlu difikirkan oleh anda, Strategi Merancang Matlamat Hidup – Langkah 1 akan menjelaskan beberapa aspek yang boleh anda fikirkan sebagai panduan untuk mencari dan menentukan keinginan dalam hidup anda. Antara aspek-aspek tersebut ialah:
  • Karier
Fikirkan keinginan anda tentang tahap pencapaian tertinggi yang anda inginkan dalam karier anda. Apakah yang ingin anda capai? Ya, semua orang ingin menjadi boss tapi bukan sekadar menjelaskan anda ingin menjadi boss. Perinci dan jelaskan gambaran jawatan yang anda ingin miliki pada masa akan datang.
  • Kewangan
Berapa banyak yang anda inginkan? Berapa yang anda perlukan? Bandingkan pendapatan anda hari ini dengan pendapatan yang mungkin anda perlukan 10 tahun akan datang. Hubungkan dengan matlamat dalam karier anda tadi. Adakah dengan jawatan yang anda inginkan tersebut boleh membantu anda mencapai matlamat kewangan anda ini?
  • Pendidikan
Apakah tahap pendidikan yang anda inginkan? Adakah terdapat sebarang pengetahuan atau kemahiran yang anda ingin kuasai? Bolehkah pendidikan yang anda perlukan ini membantu anda mencapai matlamat-matlamat tadi?
  • Keluarga
Anda sudah berkahwin? Jika belum dan anda memang ingin berkahwin, tentukan bagaimana kehidupan yang anda inginkan selepas berkahwin. Apakah yang anda ingin sumbangkan kepada ahli keluarga anda? Bahagian ini sangat penting, kerana bagi saya bahagian ini mempunyai pengaruh paling jelas dan kuat kepada usaha anda untuk mencapai matlamat hidup anda.
  • Artistik
Adakah anda minat bidang ini? Contohnya seperti melukis, menulis, bermain muzik atau mengarah filem? Apakah yang anda pernah bayangkan, dan anda minati dari bidang ini? Apakah yang memberi kepuasan bukan sahaja berbentuk material dan wang ringgit tapi mungkin juga self-esteem anda?
  • Sikap
Apakah kelemahan dari sikap anda yang boleh menghalang anda mencapai matlamat hidup? Cari dan cuba perbaiki sikap tersebut kerana anda tidak mahu menjadikannya sebagai alasan atas kegagalan anda mencapai matlamat hidup anda. Selain itu, memperbaiki kelemahan mampu memberikan anda keyakinan untuk terus memajukan diri anda.
  • Fizikal
Adakah sebarang matlamat fizikal yang anda pernah impikan? Contohnya seperti mencapai berat badan ideal, atau tahap memperbaiki tahap kesihatan sekarang untuk hari tua anda.
  • Kegembiraan
Apakah yang benar-benar menggembirakan anda? Adakah dengan melancong ke luar negara, terjun dari ketinggian 5000 kaki atau bermain muzik dengan kumpulan kegemaran anda? Cari sesuatu yang menggembirakan diri sendiri (bukan orang lain), dan ingat, anda memang layak untuk mendapatkannya!
  • Kebajikan
Apakah dengan mencapai kesemua matlamat tadi membolehkan anda berbakti kepada masyarakat. Dan jika anda mampu membuat amal kebajikan, apakah yang ingin anda sumbangkan untuk membantu masyarakat? Jadikan sebahagian dari matlamat hidup anda untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan.

Luangkan masa anda untuk brainstorm segala keinginan anda untuk setiap kategori di atas. Kemudian cari yang paling bersesuian dan realistik. Dari senarai pendek ini pula, cari bahagian atau aspek yang mampu memberi pengaruh paling besar untuk membakar semangat anda mencapai kesemuanya. Anda mungkin perlu menukar sebahagiannya pula dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan keutamaan pada waktu itu.
Dari kesemua aspek keinginan anda, perlu saya ingatkan bahawa kesemuanya perlu datang dari diri anda sendiri. Maksud saya, keinginan anda ini tadi bukan dipengaruhi oleh siapa-siapa dalam hidup anda. Bukan keinginan ibu bapa anda, dan jauh sekali bukan keinginan boss anda. Jadilah apa yang anda sendiri inginkan. Tetapi jika anda mempunyai pasangan hidup, mereka juga mempunyai pengaruh dalam menentukan matlamat anda, maka anda mungkin perlu mendengar pendapat mereka juga.

Tips untuk Jadi Lebih Bersemangat dan Bermotivasi Setiap Pagi

Mari kita baca artikel ini untuk meningkatkan motivasi dan semangat di pagi hari, insyaAllah.
ceria dan bermotivasi
ceria dan bermotivasi
Perkara terbaik (9 perkara ) yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :
  • 1. Bangun dari tidur dengan mengingati dan bersyukur kepada ALLAH
Bermohon doa kepada ALLAH agar ALLAH bantu kita mendekatkan diri padanya. Semoga ALLAH beri ketenangan dan kekuatan serta semangat untuk kita terus bersemangat melayari hidup hari ini.
  • 2. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.
  • 3. Tekad Bermotivasi. Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya kerana ALLAH dan dengan izin ALLAH.
Ambil masa untuk berzikir kepada ALLAH dan baca beberapa ayat al-quran atau hadis serta artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua. Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.
  • 4. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni. Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.
  • 5. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja. Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan dari ALLAH. Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang, insyaAllah.
motivasi-diri
  • 6. Set Target Kemajuan Diri Sendiri.
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak? Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi. Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja. Mulai hari ini, ubah sikap anda.
Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari. Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.
Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.
  • 7. Lihat Warna Cerah Warna boleh mempengaruhi mood.
Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh! Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.
  • 8. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan Lepaskan segala yang dulu-dulu.
Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang. Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi.
Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung. Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.
Anda mesti berubah untuk kemajuan diri. Beranikan diri anda untuk berubah untuk kecemerlangan hidup anda.
  • 9. Amalkan membaca zikir al-Ma’thurat
Al- Ma’thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Baginda adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperolehi dari amalan doa dan wirid tersebut.
Al- Syahid Imam Hassan Al Banna telah membina jalan yang baik untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW. Beliau telah memilih dan menyusun al- Ma’thurat dgn mengharapkan bimbingan daripada Allah SWT agar terhindar daripada gangguan syaitan yang penuh angkara murka. Maka alangkah baik setiap diri muslim mengamalkan zikir al-Ma’thurat ini pada setiap pagi dan petang, siang dan malam.
All the best!!! :)

21 Teknik Pembelajaran yang Betul dan Berkesan (UPSR/PMR/SPM)

Suasana Pembelajaran Yang Kondusif
Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia peperiksaan.
Pertama – Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.
Kedua – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
Ketiga – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.
Keempat – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.
Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
Keenam – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.
Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.
Kelapan – Sentiasa menanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.
Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.
Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri 
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.

Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji 

Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.
Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).

Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga 

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga. Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.
Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.
Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”
Ke sembilan beas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda 
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.
Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.
Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan 
Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.

Friday 20 January 2012

Semakan Tawaran Ke Tingkatan 4 di Sekolah Berasrama Penuh Tahun 2012

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa permohonan secara online kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2012 akan dibuka pada 1 September sehingga 15 Oktober 2011.
SYARAT PEMILIHAN MURID TINGKATAN EMPAT (4) SBP
  • Warganegara Malaysia
  • Murid Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan atau Bantuan Kerajaan.
  • Kelayakan akademik PMR seperti berikut:
  • Memperolehi gred A bagi enam (6) mata pelajaran tidak termasuk mata pelajaran Bahasa Antarabangsa (Bahasa Arab/Bahasa Jepun/Bahasa Perancis/Bahasa Jerman/Bahasa Mandarin).
  • Mesti memperoleh gred A bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.
  • Memperoleh sekurang-kurangnya gred B bagi mata pelajaran yang lain.
  • Aktif dalam kokurikulum.
KEPUTUSAN PEMILIHAN DAN PENEMPATAN MURID TINGKATAN EMPAT (4)
  1. Keputusan akan diumumkan selewat-lewatnya dalam tempoh 30 hari setelah keputusan PMR diumumkan.
  2. Semakan keputusan boleh dibuat melalui ketetapan berikut:
  • Laman Web Kementerian Pelajaran Malaysia www.moe.gov.my
  • Kaunter BPSBPSK
  • Talian hotline BPSBPSK
  • Kaunter JPN / PPD yang berhampiran
3.       Surat tawaran akan dihantar terus kepada alamat pos pemohon.
Tawaran hanya sah sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
  • Warganegara Malaysia.
  • Lulus pemeriksaan kesihatan oleh doktor yang bertauliah, sihat tubuh badan dan bebas daripada sebarang penyakit kronik, penyakit lelah atau penyakit berjangkit.
  • Bersetuju menerima Sekolah Berasrama Penuh yang ditawarkan dan menerima aliran yang ditetapkan.
  • Bersetuju mematuhi sepenuhnya semua peraturan dan arahan Sekolah Berasrama Penuh yang berkaitan.