PRS

Pendahuluan
Kajian luar negara dan tempatan telah membuktikan bahawa rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap remaja. Dalam usaha mencari-cari identiti diri, remaja banyak ke arah yang mereka ingini. Jika rakan sebaya yang digauli itu mempunyai pengaruh negatif maka remaja itu akan terikut-ikut dengan perlakuan negatif juga. Oleh itu pelbagai usaha harus dijalankan supaya pengaruh negatif itu dapat digantikan dengan pengaruh positif bagi membolehkan remaja membina nilai hidup yang sihat untuk menyediakan mereka menjadi orang dewasa dan rakyat Malaysia yang matang dan bertanggungjawab. Gegala inilah yang mendorong kita melatih remaja dengan beberapa kemahiran mempengaruhi kawan melalui membina perhubungan mesra dan menjadi contoh teladan.   
Dalam tahun 1984, Bahagian Sekolah (Unit Bimbingan dan Kaunseling) telah merangka dan mengeluarkan buku Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah. Salah satu kandungan buku itu ialah perkhidmatan dan tugas “Kaunselor Sebaya”. Dengan ini konsep “Kaunselor Sebaya” (sekarang dikenali sebagai Pembimbing Rakan Sebaya) ini telah sedia ada tetapi tidak diperkembangkan dalam kalangan pelajar secara sistematik dan menyeluruh. Malah ada sekolah telah menjalankan secara ‘ad hoc’ dan tersendiri dengan menggunakan pelbagai nama seperti ‘College Sister’, Adik Angkat, Tutor Sebaya,Kaunselor Sebaya dll.

Rasional

Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah lama bertapak dalam sistem pendidikan kita. Walaupun perkhidmatan ini masih mempunyai ruang yang luas untuk diperbaiki, khidmat “pelajar membantu pelajar” merupakan satu khidmat sokongan yang penting untuk mengisi ruang tersebut. Oleh sebab pelajar adalah lebih ditemui dan dijangka lebih memahami curahan perasaan rakan, maka mereka lebih mudah dirapati. Golongan pelajar yang terlatih dalam kemahiran-kemahiran asas menolong sangat penting untuk meningkatkan lagi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.    
Untuk melengkapkan pengetahuan dari sumbangan pelajar membantu rakan, maka mereka perlu diberi latihan supaya khidmat mereka lebih berkesan. Maka satu modul latihan telah dibentuk oleh beberapa orang Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk dijadikan panduan dalam melatih pelajar sebagai Pimbimbing Rakan Sebaya.
Walau bagaimanapun, pihak pentadbir sekolah, guru, staf lain dan masyarakat haruslah sedar bahawa PRS ini adalah remaja atau pelajar biasa yang masih mempunyai kekurangan diri dan perlukan bimbingan berterusan daripada orang dewasa. Mereka juga tidak akan berupaya menjadi pelajar serba sempurna tanpa membuat kesilapan. Mereka juga tidak akan berupaya memenuhi tuntutan pentadbir dan guru untuk mengatasi masalah disiplin sekolah. Apa yang boleh mereka lakukan melalui bimbingan dan galakan daripada pentadbir, guru dan orang dewasa lain ialah dengan menggunakan pengaruh positif serta contoh teladan untuk menarik perhatian rakan-rakan ke arah perlakuan yang diterima.
Modul ini juga bertujuan untuk menyedarkan pembaca dan penggunanya bahawa konsep universal “rakan bantu rakan” mempunyai berbagai-bagai nama atau label yang sama makna. Maka Pembimbing Rakan Sebaya adalah satu nama yang sama erti dengan Kelompok Sokongan Sebaya (Peer Support Group), Mentor Sebaya, Tutor Sebaya Adik Angkat, College Sister/Brother, Buddy System, Pembantu Pelajar dan pelbagai nama lagi. Jadi modul ini boleh digunakan oleh guru Bimbingan Dan Kaunseling dalam semua jenis latihan untuk menggunakan pelajar membantu rakan mereka.

Matlamat
Melahirkan PRS yang berkemampuan membantu rakan sebaya secara positif, berkesan, berkemahiran dan berketrampilan.


Objektif

Modul yang disediakan dapat membantu pelajar menjadi Pembimbing Rakan Sebaya yang dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran asas dalam proses menolong. Di akhir kursus, selepas menggunakan modul ini diharap peserta akan :

  1. Mendapat pengetahuan dan berupaya memahami dan menilai kelebihan dan kelemahan diri.
  2. Membina strategi bagaimana meningkatkan kelebihan diri dan mengurangkan kelemahan diri supaya dapat membina sikap positif.
  3. Memahami dan menguasai kemahiran asas komunikasi dan berupaya mempratikkannya dengan rakan, guru, keluarga dan orang lain.
  4. Mengetahui dan menguasai teknik-teknik asas dalam kemahiran kaunseling supaya mereka dapat berfungsi sebagai PRS yang peka kepada perasaan rakan dan berupaya membantu rakan dengan lebih berkesan.
  5. Memahami sifat-sifat remaja dan aspirasi mereka dan dapat membantu diri dan rakan untuk membina matlamat hidup positif.
  6. Membina daya dorongan untuk membina budaya saling membantu, hormat dan kasih mesra antara rakan dan masyarakat sekolah.
Harapan

Dengan adanya modul PRS ini diharapkan PRS sekolah mampu :
  1. Menjadi contoh kepada rakan.
  2. Menjadi sumber rujukan rakan.
  3. Menjadi pembimbing rakan sebaya yang positif dan berkesan.
  4. Membantu Guru Bimbingan dan Kaunseling dalam melaksanakan apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
  5. Menjadi 'mata' dan 'telinga' kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling mengenai senario yang berlaku di sekolah.
  6. Membantu menyelesaikan masalah ringan rakan-rakan.
  7. Merujuk rakan yang menghadapi masalah serius kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling.
  8. Peka terhadap masalah yang berlaku di sekolah.
  9. Sentiasa proaktif.
  10. Sentiasa sedia membantu.
Falsafah Pembimbing Rakan Sebaya 


Sebagai PRS, mereka perlu sentiasa menghayati Falsafah PRS iaitu “Bantu Diri Untuk Membantu Rakan Lain”. Dalam usaha membantu rakan, mereka mendapat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk meningkatkan kecemerlangan diri. Oleh itu, mereka seharusnya berusaha mempertingkatkan diri dari segi ilmu pengetahuan, perlakuan, perhubungan, kreativiti dan keimanan.


Prinsip Pembimbing Rakan Sebaya


Bersedia dan rela membantu rakan yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan, perlakuan dan fizikal.

Etika Pembimbing Rakan Sebaya


Sebagai PRS mereka perlu sentiasa ingat dan patuh kepada etika, iaitu :
  1. Amanah dan menyimpan rahsia.
  2. Menerima dan menghormati rakan dan orang lain.
  3. Memahami batasan dan keupayaan diri.
  4. Sentiasa berusaha meningkatkan diri dari pelbagai aspek.
  5. Melaporkan kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling tentang kes yang boleh merosakkan diri dan orang lain.
  6. Merujuk kes rumit kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling.
  7. Mematuhi peraturan sekolah, dan norma masyarakat dan agama.
Tanggungjawab PRS
  1. Tanggungjawab Terhadap Diri
      • PRS sentiasa mahu mengubah dirinya ke arah yang lebih positif dan terus berkembang hasil dari pengalaman dan pembelajaran.
      • PRS tidak sepatutnya merasa bersalah jika gagal membantu rakannya setelah segala usaha dilakukan.
      • PRS hendak lah mempunyai waktu yang tersendiri untuk keselesaan nya tanpa mengingati orang lain.
      • PRS hendaklah jujur mengakui kesilapan dirinya dan memperbaiki kesilapannya.
  2. Tanggungjawab Terhadap Tugas
      • Mendapat yang secukupnya daripada guru pembimbing
      • Menjalankan tugas sebagai  PRS yang jujur,ikhlas,sukarela dan bersungguh sungguh dalam menjalankan tugas,semua maklumat rakanya hendaklah dirahsiakan.